::.SALAM.::

Sunday, October 18, 2009

Adakah Anda Seorang Pemarah?

Ayuh jawab kuiz, nilailah tahap kesabaran masing-masing. Soalan-soalan yang dipaparkan ini tidak bersifat decisive (bersifat menentukan/bersifat tegas.), tetapi sedikit sebanyak dapat membantu untuk mengukur sikap masing-masing; khususnya apabila berhadapan dengan konflik yang mungkin akan 'memanaskan darah'.

Moga-moga bermanfaat untuk anda semua!

Kuiz: Adakah Anda Seorang Pemarah

1. Bilakah kali terakhir anda hilang sabar (dan mengamuk)?

a. Tahun lepas

b. Bulan lepas

c. Minggu lepas

---

2. Apakah yang lazim anda lakukan ketika sedang tidur?

a. Mengeritkan gigi (Biasa tengok orang 'mengasah gigi? Bunyinya krek, krek)

b. Bercakap (Mengigau)

c. Sekadar bermimpi

---

3. Apakah yang akan anda lakukan apabila laluan anda dihalang oleh orang lain?

a. Menyimpan dendam

b. Menjerit

c. Mengangkat bahu (Ala-ala entah)

---

4. Adakah anda mempunyai harapan yang tinggi? (High expectation)

a. Ya

b. Tidak

c. Kadang-kadang

---

5. Apakah perkataan yang terbaik untuk menerangkan sifat (kebanyakan) kawan-kawan anda?

a. Relaks dan tenang

b. Selalu gembira dan kecoh

c. Sukar untuk dijangka

---

6. Berapa lamakah tempoh anda tidur pada waktu malam?

a. Kurang dari lapan jam

b. Lapan dan sembilan jam

c. Lebih dari sembilan jam

---

7. Komputer anda 'hang' ketika anda hendak menghantar sebuah posting yang dikarang panjang ke iLuvIslam. Tindakan anda;

a. Menghentak keyboard dan mengetuk komputer anda

b. Menjerit, marah-marah dan 'reboot' komputer anda

c. Berfikir. Tidak mengapa, boleh saja ditaip sekali lagi dan dihantar kemudian.

---

8. Sejauhmana anda berpuas hati dalam kebanyakan perkara?

a. Selalu

b. Kadang-kadang

c. Jarang

________________________________________________________________________________


Jawapan dan skor (Jumlahkan skor anda, dan rujuk pada kategori markah di bawah)

1. a=1, b=2, c=3

2. a=3, b=2, c=1

3. a=1, b=2, c=3

4. a=3, b=1, c=2

5. a=1, b=2, c=3

6. a=3, b=2, c=1

7. a=3, b=2, c=1

8. a=1, b=2, c=3

________________________________________________________________________________

8 hingga 13 -- Anda agak 'cool', penenang dan tidak mudah terganggu dek keadaan sekeliling. Anda juga merupakan seorang yang pemaaf dan menyedari bahawa kehidupan amatlah bermakna untuk dinikmati.

14 hingga 19 -- Anda dikenali sebagai individu yang cepat marah. Namun, anda tidak menjadikannya sebagai satu tabiat yang buruk. Sentiasalah berwaspada dengan sikap anda , khususnya dari aspek emosional; dan anda mampu untuk melangkah ke depan.

20 hingga 24 -- Anda seorang yang panas baran dan mengalami kesukaran untuk mengawalnya. Anda perlu belajar bagaimana untuk mengawal situasi dan ini adalah lebih baik dari terpengaruh dengan keadaan sekeliling. Didiklah diri anda supaya lebih terkawal apabila dilanda suatu ujian!

Wednesday, September 9, 2009

Buruk Itu Jadikan Sempadan

Hayatilah sedikit sedutan daripada drama ini yang bertajuk Takbir Suci 3.

Disini kita dapat lihat ekspresi dan perlakuan individu yang marah secara

negatif. Semua itu wajar kita dijadikan pengajaran dalam mengharungi

kehidupan ini.

P/S: Drama ini hanyalah untuk tontonan semata-mata,

jangan tiru aksi ini di rumah!

Tuesday, September 8, 2009

Jangan Cepat Marah

Setelah mengetahui dan mempelajari tentang perasaan marah,
apa kata kali ini kita lihat video pula?
Ambillah manfaat dan pengajaran daripada lagu dan video ini
disamping menjadi halwa telinga kita.
Jangan cepat marah ye?? Moga terhibur...


Monday, September 7, 2009

Kawal dan Atasi

Telah diterangkan di dalam entri yang lepas bahawa marah adalah salah satu perasaan yang perlu dikawal dan dikendalikan dengan baik oleh setiap individu agar tidak memberikan kesan buruk dalam jangka masa pendek mahupun dalam jangka masa panjang. Justeru, kali ini kita akan membincangkan serba sedikit cara-cara mengendalikan perasaan yang panas membara ini.

Sebelum itu, mari kita kenali jenis-jenis marah yang ada.


JENIS-JENIS MARAH

Terdapat 2 jenis kemarahan yang biasa kita hadapi dalam kehidupan seharian kita. Sifat marah ini ada yang kadang-kadang dipuji dan kadang-kadang dicela mengikut sebab-sebab penggeraknya.

o Sifat marah yang terpuji (positif) ialah marah yang diluahkan kerana membela kebenaran dan agama, dan marah kerana menegah kemungkaran dan perkara-perkara haram.

o Sifat marah yang tercela (negatif) ialah marah pada jalan yang salah, yang dinyalakan oleh kesombongan dan keangkuhan.

CARA MENGATASI MARAH

Terdapat pelbagai cara untuk mengawal dan mengatasi marah. Antaranya ialah:

  • Mengingatkan orang yang sedang marah itu dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
  • Kalau sedang berdiri, cepat-cepat duduk untuk mengelakkan tangan kita lancang memukul orang atau mencapai barang untuk dibaling.
  • Ambillah wuduk. Wuduk itu dapat membuang segala kekotoran pada diri kita.
  • Kalau tidak berkesan duduk, suruhlah orang yang sedang marah tersebut baring.
  • Minum air kosong banyak-banyak ketika marah. Cara ni dapat meredakan marah.
  • Lari daripada melihat muka orang yang hendak dimarahi. Sebaiknya, redakanlah rasa marah yang ada sebelum bersemuka dengan orang tersebut. Ini perlu agar kita tidak melepaskan rasa marah secara membuta tuli terhadapnya.

Menahan Diri Daripada Marah

Seorang ulama fiqh, Nur bin Muhammad berkata: Seorang muslim hendaklah bersifat lemah lembut dan sabar kerana ia adalah salah satu sifat orang-orang bertaqwa. Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah memuji orang-orang yang bersifat lemah lembut dengan firmanNya yang tafsirnya :



“(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad), maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya rasul-rasul (Ulul-Azmi) dari kalangan rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu)”.

(Surah Asy-Syura: 43)

Ayat ini memberi maksud bahawa orang-orang yang sabar di atas kezaliman yang dilakukan ke atasnya dan dia memaafkan orang yang menzaliminya itu akan mendapat pahala dan ganjaran yang amat besar daripada AllahSubhanahu Wa Ta’ala.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala juga telah memerintahkan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam supaya bersifat sabar dan berlemah lembut dan Allah mengkhabarkan kepada Baginda bahawa nabi-nabi yang terdahulu sebelum Baginda adalah orang-orang yang memiliki sifat demikian. Allah Subhanahu Wa Ta’alaberfirman yang tafsirnya :

“(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad), maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya rasul-rasul (Ulul-Azmi) dari kalangan rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu)”.

(Surah al-Ahqaaf: 35)

Dalam ayat ini Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah memerintahkan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallamsupaya bersifat sabar di atas pembohongan orang-orang kafir dan di atas penyiksaan mereka sebagaimana bersabarnya para nabi sebelum Baginda.


Sesungguhnya perasaan marah boleh kita ibaratkan seperti belon yang mampumengembangdan mengecut. Ia akan mengembang apabila seseorang memarahi orang di bawahnya dan merasa berkuasa terhadap orang itu. Jikalau marah itu timbul terhadap orang yang di atasnya dan dia berputus asa untuk membalas dendam, nescaya terjadilah kekecutan darah dari permukaan kulit sampai ke rongga hati dan dia menjadi gundah gulana. Namun, jika kemarahan itu terjadi terhadap orang yang sebanding atau setaraf dengannya, nescaya darah itu bertukar-ganti di antara mengecut dan mengembang. Maka, berhati-hatilah dalam menghadapi dan mengendalikan marah agar tidak memberi kesan buruk kepada mana-mana pihak.


TIPS MENGELAKKAN KEMARAHAN


"Barangsiapa yang dapat menahan marah padahal sanggup melempiaskan kemarahannya, nescaya ALLAH SWT memanggilnya di hadapan khalayak ramai untuk dipersilakan memilih bidadari yg dikehendakinya" (H.R Mu`adz bin Anas R.A.)


Siapa yang tidak mahu diberi peluang untuk memilih sendiri bidadari Syurga yang cantiknya tiada tandingan? Ini merupakan penghormatan yang Allah beri kepada hamba-hamba-Nya yang sanggup menahan kemarahan walaupun mereka berpeluang berbuat demikian. Maka, kita perlu belajar mengawal kemarahan diri dan seboleh-bolehnya elak daripada melepaskan kemarahan tersebut kepada orang yang salah atau pada masa dan keadaan yang tidak sesuai.


Disini terdapat beberapa tips yang boleh kita gunakan sebelum kita mengekspresikan perasaan marah kita terhadap orang lain. Terdapat tiga perkara utama yang perlu dipertimbangkan. Perkara-perkara tersebut ialah:

1. Adakah kita marah pada orang yang tepat?

o Dalam hal ini biasa terjadi dalam pekerjaan misalnya seorang pegawai dengan jabatan sebagai penyelia mempunyai masalah dengan pegawai yang lebih tinggi pangkat darinya, secara realiti penyelia tersebut akan memarahi pekerja dibawahnya dengan alasan takut dimarahi oleh pihak atasan.

2. Adakah kita marah pada waktu yang tepat?

o Perkara yang perlu dielakkan apabila kita sedang marah ialah jangan pernah memarahi seseorang dihadapan ramai orang kerana ini boleh menggangu perkembangan sikologi orang tersebut, apatah lagi terhadap kanak-kanak.


3. Adakah kita marah dengan alasan yang tepat?

o Kita perlu mengelak daripada berasa marah disebabkan hal-hal yang remeh temeh seperti hanya disebabkan orang lain meminjam sepatu tanpa izin kepada pemiliknya kita memarahi dengan begitu teruk sekali.


Apabila ketiga-tiga hal yang telah disebutkan di atas sudah memenuhi syarat, maka barulah kita dibolehkan untuk berasa marah. Namun, apabila salah satu daripadanya tidak dipenuhi, lebih baik kita menahan kemarahan itu. Pertimbangkan terlebih dahulu, adakah kita perlu marah, atau mungkin kita perlu mempertimbangkan perasaan orang lain apabila kita memarahinya di tempat yang umum kerana dikhuatiri akan menjatuhkan maruahnya.

Ramadhan VS Marah


"Apakah yg kalian anggap kuat dalam bergelut itu?,para sahabat berkata: 'Ialah orang-orang yg tidak dapat di kalahkan org lain dalam pergelutan'. Nabi menerangkan: '(Bukan demikian tetapi) ialah orang yg dapat menahan dirinya di waktu marah'."

(H.R Ibnu Atsir dalam an-Nihayah)

Lisan yang suka memaki hamun apabila marah, mengeji apabila benci, mengumpat apabila dengki, mengadu domba apabila busuk hati, berbohong untuk menyelamat diri dan mendapati yang dihajati. Semua ini mampu membangkitkan rasa amarah individu yang terbabit.
Bercerita tentang keaiban orang dan keburukannya mungkin ada suatu kesedapan dan kelazatannya yang tersendiri. Ya, lazat yang diulami oleh nafsu ke dalam diri. Agar manusia tunduk menjadi hamba kepadanya. Maka akan berlakulah sesuatu yang tidak diingini dan akan disesali.

Lalu di bulan ini, Nabi mendesak kita untuk mengawalnya, mengekangnya dari terus bermaharajalela dalam diri.
Nabi mengingatkan :-

الصيام جنة فلا يرفث ولا يجهل وإن امرؤ قاتله أو شاتمه فليقل إني صائم مرتين
Ertinya : Puasa itu benteng, justeru jangan seseorang berkata buruk dan melakukan perbuatan orang jahil lagi bodoh, dan sekiranya ada yang mencari gaduh, mencercanya, lalu jawablah : Aku berpuasa, sebanyak dua kali. ( Riwayat Al-Bukhari)

Tahanlah marahmu…Manusia bila dikuasai marah, kerap berkata keras, memaki lagi menghina. Maka kawal ia sehabis mungkin. Elakkan dari berkata-kata buruk kerananya, ambillah wudhu dan bergeraklah dari tempat kemarahan ke tempat atau perbuatlah urusan lain. Jika kamu sedang berdiri, duduklah, dan seterusnya. Dari Abu Hurairah r.a:-

فإن سابك أحد فقل : إني صائم ، وإن كنت قائما فاجلس
Ertinya : Sekiranya ada seorang mencercamu, maka katakanlah : Aku berpuasa, dan jika kamu sedang berdiri, duduklah. ( Riwayat Ibn Khuzaimah, Fath Al-Bari, hlm 126)

Ya, ubah posisimu, agar akal yang tidak waras kerana marah dapat dibendung dari memudaratkan diri dan orang lain yang berdekatan.
Ada yang marah sehingga membunuh, kemudian menyesal dan tidak menyangka itu perbuatannya. Ya, sama seperti arak yang memabukkan, menghilangkan pertimbangan waras akal dan iman. Ada yang marah lalu tercerai isterinya, tercedera anaknya, dihina suaminya, tuntutan cerai kedengaran setiap minggu, mendera jiwa suami yang cuba bersabar. Semua itu diinginikah ?

Semua itu mencederakan, bukan hanya di fizikal tetapi lebih jauh dan sakitnya di hati dan minda. Yang marah dan berkata keras itu pula dapat apa? Hanya dapat melepaskan marah dan memberitahu diri sedang marah. Itu saja, tapi kesannya amat dalam dan jauh lebih buruk, sukar ditaksirkan. Kesannya buruk bagi yang marah dan yang dimarahi.

Justeru Allah mengarahkan kita menjadi kuat dan mampu mengawal marah, sesuai dengan sabda baginda Nabi s.a.w. Namun ada kemarahan yang dituntut, iaitu dalam menyelamat maruah Islam yang dicabar, maruah diri dan keluarga yang cuba dicarik. Namun itu tidak boleh dilaksana secara semberono. Ia punyai kaedah dan peraturan. Lihat bagaimana Nabi melarang seorang hakim memutuskan keputusan dalam keadaan marah, kerana marah menghilangkan kewarasan pertimbangan akal. Ia cenderung mendorong ke arah melakukan kezaliman. Justeru Ramadhan bulan untuk mengikat dan mengawal kemarahan.

Malang pula, kelihatan di bulan berpuasa ini, jumlah yang marah semakin ramai berbanding di bulan lain, alasannya kerana perut kosong, emosi jadi lebih nipis.
Justeru adakah di bulan lain, emosi kita dikawal oleh perut yang kenyang? Janganlah percaya dengan alasan itu. Ia hanya mainan Syaitan. Perut kenyang sama sekali bukan merupakan sumber ‘kawalan diri' yang akan berkekalan, yang patut menjadi sumber kawalan marah adalah iman dan taqwa, yang ditawarkan secara habis-habisan dibulan Ramadhan ini. Bertindak cepatlah mengambilnya dan jangan lagi perut dijadikan alasan.


Sumber:
http://www.zaharuddin.net/

Perlukah Ibu Bapa Marah?

“Tak faham-faham lagi ke?! Dah berapa kali ibu dan

ayah pesan, jangan main bola kat tengah-tangah jalan besar tu! Tengok apa dah jadi, nasib baik tak kena langgar kereta.”

“Kenapa memilih sangat ni?! Jangan banyak ‘songeh’, makan je apa yang ada. Nak suruh makan pun susah!”

“Hei, buat je la apa yang aku suruh buat. Jangan banyak tanya boleh tak? Rimas aku!”

Dialog diatas amat biasa kedengaran apabila berinteraksi dalam suasana tegang terutamanya dalam keadaan marah yang berpunca dari pelbagai asbab(sebab) yang

melibatkan dua pihak – satu pihak memarahi, satu pihak dimarahi. Dalam keadaan ini, intonansi suara akan menjadi tinggi dan mungkin juga akan diikuti dengan perlakuan yang menyakiti secara fizikal mahupun hati dan perasaan individu yang dimarahi.

Pengalaman memarahi orang lain mungkin membuatkan ramai berpendapat rasa marah adalah satu perkara negatif yang patut dihindarkan. Jika dilihat dari konteks keibubapaan, menengking anak-anak semata-mata untuk mendapatkan kerjasama mereka tidak selalu meninggalkan rasa positif dan rasa gembira pada ibu bapa. Namun, tidak ramai yang sedar bahawa kemarahan itu mempunyai tujuan dalam kehidupan kita dan atas sebab itulah Allah menciptakan perasaan marah. Ia datang dengan hikmah mengajar manusia beberapa cara memperoleh hubungan yang lebih sihat dan bahagia.

Berikut merupakan antara kaedah yang dapat menjadikan marah itu sebagai satu perkara yang baik:

1. Kemarahan sebagai pelindung

· Apabila anak berada dalam situasi merbahaya atau mencemaskan, minda anda secara automatik akan mencetuskan satu rangkaian reaksi yang menyebabkan kemarahan. Maka anda tidak mempunyai masa untuk berhenti dan memikirkan tindakan berikutnya.

· Kemarahan sebenarnya memintas fikiran bagi membolehkan manusia bertindak serta-merta. Ini sekali gus merupakan kaedah alam atau natural untuk melindungi keluarga daripada sebarang kecederaan.

2. Kemarahan sebagai petanda

· Tujuan kemarahan itu wujud adalah untuk menghapuskan masalah-masalah kehidupan bukannya perhubungan. Apabila sesuatu memerlukan perubahan dramatik, kemarahan tidak hanya memberitahu anda apa yang perlu diketahui, malah, ia memberi anda kekuatan untuk melakukan sesuatu.

· Misalnya, apabila doktor anak anda tidak mendengar keluhan anda, maka, menjadi marah mungkin boleh ‘merancakkan’ suasana dan mencari punca masalah agar ia boleh diselesaikan.

3. Kemarahan mengawal

· Anak anda membiarkan semua barang permainannya berselerak di serata rumah lagi! Terlalu penat untuk menengking perlakuan anak itu untuk mendapatkan kerjasamanya, kemarahan mungkin dapat membantu. Perasaan marah boleh memberitahu bahawa anda mempunyai harapan yang terlalu tinggi atau peraturan yang ditetapkan tidak cukup jelas.

· Gunakan tenaga deripada kemarahan anda untuk berkomunikasi tentang disiplin yang konsisten serta berpatutan seiring dengan usia anak.

4. Kemarahan sebagai suara

· Apa yang kita katakan kepada diri biasanya akan menjejaskan tahap emosi. Jika kita memberitahu diri sebagai ibu bapa yang teruk, maka, teruklah jadinya. Sebaliknya, jika kita berkata kepada diri agar melakukan yang terbaik dalam apa juga situasi, maka, kita akan bertindak tanpa rasa tertekan.

· Belajarlah mendengar ‘suara kecil’ dan mencabar sebahagian persepsi salah yang telah anda terapkan untuk diri dan si anak. Mintalah pandangan jujur daripada rakan-rakan. Jika apa yang anda katakan tentang diri itu benar, maka, gunakan maklumat ini untuk membuat perubahan dalam hubungan anda dan anak.

5. Kemarahan sebagai pengajaran

· Cara dan gaya pengurusan kemarahan selalunya diwarisi daripada ibu bapa. Andainya ibu atau bapa anda seorang yang suka menengkin atau menjerit, maka besar kemungkinan, anda akan mengikut jejaknya. Biarpun setelah berjanji dan bersumpah tidak akan bersikap sepertinya.

· Buangkan tanggapan bahawa kemarahan itu satu perasaan yang buruk. Kemarahan ialah satu proses natural yang tidak dapat dielakkan. Tetapi, anda perlu faham bahawa emosi ini boleh dikawal melalui latihan.

· Berikan diri anda masa untuk mencari kaedah berdepan dengan cabaran mendidik anak, sama ada melalui bacaan buku ataupun menghadiri kelas mengurus kemarahan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, klik disini.

Friday, September 4, 2009

INSAN dan MARAH



Apabila wujudnya pro pasti ada kontranya, apabila wujudnya sebab pasti ada akibatnya, apabila wujudnya perlakuan pasti ada kesannya. Begitulah juga dengan marah, ia me

mpunyai kesannya yang tersendiri bergantung kepada punca kemarahan dan cara mengendalikannya.

KESAN-KESAN MARAH

Setiap perbuatan dan perkataan kita sama ada baik ataupun buruk mempunyai kesannya yang tersendiri. Begitu juga dengan perasaan marah. Perasaan marah yang negatif ini banyak mengakibatkan kesan-kesan yang buruk tetapi bagi perasaan marah yang positif banyak melahirkan kesan-kesan yang baik.

Kebanyakan ulama Fiqh berpendapat bahawa orang yang marah dipertanggungjawabkan segala perbuatannya semasa dia marah, dan diambil kira apa-apa saja perbuatan yang lahir daripadanya, seperti perbuatan yang menyebabkannya menjadi kafir,

membunuh orang, mengambil harta orang lain tanpa hak, talak dan sebagainya. Mereka berhujjah dengan bersandarkan kepada beberapa dalil, di antaranya:

Hadith Khaulah binti Tha‘labah, isteri kepada Aus bin Ash-Shamit ada menyebutkan: “Suaminya telah marah lalu dia menzhiharkannya, maka dia (Khaulah) pun pergi berjumpa Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam lalu memberitahu kepada Baginda perkara itu dan berkata:

“Dia tidak bermaksud untuk menthalaqku”.

Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Aku tidak tahu melainkan engkau sebenarnya telah menjadi haram ke atasnya”.

Di dalam hadith ini Allah telah menjadikan thalaq sebagai zhihar, dan thalaq itu jatuh walaupun diucapkan dalam keadaan marah. Akan tetapi jika seseorang itu marah sehingga dia pitam maka tidak berlaku thalaq kerana hilang akalnya. Dalam keadaan ini dia menyerupai orang gila yang mana tidak jatuh thalaq yang lahir dari seorang gila.

Oleh yang demikian, sekiranya seorang manusia yang berada dalam keadaan marah merosakkan sesuatu yang berharga kepunyaan orang lain, maka harta tersebut berada di bawah jaminannya dan dia hendaklah membayar ganti rugi hasil daripada perbuatannya itu. Lain-lain contoh di antaranya:

o Ssekiranya dia membunuh seseorang dengan sengaja, maka dia dikenakan qishash.

o sekiranya dia melafazkan lafaz kekufuran, maka dia dihukum murtad sehinggalah dia bertaubat.

o Sekiranya dia bersumpah untuk melakukan sesuatu, maka sumpahnya mestilah dilaksanakan (sah sumpahnya).

o Sekiranya dia menthalaq isterinya, maka jatuh thalaqnya itu.

Banyak lagi kesan dari perasaan marah antaranya kita dapat lihat melalui perubahan fizikal pada warna muka dan mata. Ada yang mengertap gigi, kepal penumbuk, menggeletar, kembang kempis hidungnya. Betapa buruknya wajah kita apabila kita berada dalam keadaan marah.

Memang tidak dinafikan bahawa ada masa kita boleh kawal diri, dan ada masa terlepas juga rasa marah tersebut tetapi sebagai insan biasa, latihan mengawal marah ini boleh dilakukan, di samping teguran-teguran dari sahabat-sahabat di sekeliling kita. Sikap saling tegur menegur dan nasihat menasihati boleh member kita banyak ganjarannya sekiranya kita berjaya mengawal perasaan marah itu.

Benarlah sebagaimana Firman Allah yang bermaksud:

"Bersegeralah menuju keampunan dari Tuhanmu serta syurga yang luasnya seluruh lagit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang yang membelanjakan hartanya di waktu hartanya cukup dan juga kurang serta orang-orang yang suka menahan kemarahannya dan gemar pula memaafkan kesalahan para manusia dan Allah itu mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan" (Al Imran 133-134)


KAJIAN MENGENAI PERASAAN MARAH TERHADAP DIRI SENDIRI


Marah ini berada dalam diri setiap insan yang bergelar manusia tanpa mengira usia, bangsa, harta mahupun pangkat. Tetapi tahap kemarahan adalah berbeza mengikut individu kerana ia boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran dan dalaman seperti punca kemarahan itu berlaku dan kemahiran individu terbabit dalam mengawal kemarahannya.

Kita boleh mengkaji perasaan marah yang kita miliki dan seterusnya kita perlu menganalisis dapatan kajian itu untuk mengetahui sama ada kita marah bersesuaian dengan tempat dan masa atau pun kita suka melepaskan perasaan marah kepada sesiapa sahaja tanpa memikirkan kesan dan akibat yang bakal dihadapi kelak. Selain itu, kita boleh lakukan muhasabah diri dan refleksi apa yang perlu kita lakukan dimasa hadapan untuk menjadikan marah kita adalah positif dan meninggalkan kesan yang positif juga. Moga ia mampu membari manfaat kepada kita semua.


Berikut merupakan soalan yang boleh ditanyakan kepada diri sendiri mengenai sifat marah.

1. Bilakah kali terakhir saya marah ?

o Seseorang itu tidak mungkin merancang terlebih dahulu untuk memarahi seseorang kerana marah merupakan satu perasaan refleks yang bertindak secara spontan.

2. Apakah perubahan yang terjadi ke atas diri saya ketika berada dalam keadaan marah?

o Ketika marah kedua-dua kening seseorang itu akan menjadi rapat dan dahinya akan berkerut. Arah pandangan mata juga akan berubah.

3. Kepada siapa saya marah ?

o Kebiasaanya seseorang akan melempiaskan kemarahannya kepada orang yang terdekat contohnya ahli keluarganya sendiri tanpa disedari.

4. Apakah punca kemarahan yang sering berlaku?

o Kebiasaannya ia melibatkan hal yang remeh temeh. Sebagai contoh mengambil atau menggunakan barang orang lain tanpa meminta izin terlebih dahulu.

5. Apakah tindakan yang saya lakukan untuk mengurangi kemarahan?

o Berdoa dan ingat kembali segala kebaikan orang yang ingin kita marahi itu.

6. Apa yang saya lakukan ketika permasalahan telah kembali reda?

o Kembali berhubung semula dengan seseorang yang telah kita marahi dan merefleks kembali diri sendiri.