::.SALAM.::

Monday, September 7, 2009

Ramadhan VS Marah


"Apakah yg kalian anggap kuat dalam bergelut itu?,para sahabat berkata: 'Ialah orang-orang yg tidak dapat di kalahkan org lain dalam pergelutan'. Nabi menerangkan: '(Bukan demikian tetapi) ialah orang yg dapat menahan dirinya di waktu marah'."

(H.R Ibnu Atsir dalam an-Nihayah)

Lisan yang suka memaki hamun apabila marah, mengeji apabila benci, mengumpat apabila dengki, mengadu domba apabila busuk hati, berbohong untuk menyelamat diri dan mendapati yang dihajati. Semua ini mampu membangkitkan rasa amarah individu yang terbabit.
Bercerita tentang keaiban orang dan keburukannya mungkin ada suatu kesedapan dan kelazatannya yang tersendiri. Ya, lazat yang diulami oleh nafsu ke dalam diri. Agar manusia tunduk menjadi hamba kepadanya. Maka akan berlakulah sesuatu yang tidak diingini dan akan disesali.

Lalu di bulan ini, Nabi mendesak kita untuk mengawalnya, mengekangnya dari terus bermaharajalela dalam diri.
Nabi mengingatkan :-

الصيام جنة فلا يرفث ولا يجهل وإن امرؤ قاتله أو شاتمه فليقل إني صائم مرتين
Ertinya : Puasa itu benteng, justeru jangan seseorang berkata buruk dan melakukan perbuatan orang jahil lagi bodoh, dan sekiranya ada yang mencari gaduh, mencercanya, lalu jawablah : Aku berpuasa, sebanyak dua kali. ( Riwayat Al-Bukhari)

Tahanlah marahmu…Manusia bila dikuasai marah, kerap berkata keras, memaki lagi menghina. Maka kawal ia sehabis mungkin. Elakkan dari berkata-kata buruk kerananya, ambillah wudhu dan bergeraklah dari tempat kemarahan ke tempat atau perbuatlah urusan lain. Jika kamu sedang berdiri, duduklah, dan seterusnya. Dari Abu Hurairah r.a:-

فإن سابك أحد فقل : إني صائم ، وإن كنت قائما فاجلس
Ertinya : Sekiranya ada seorang mencercamu, maka katakanlah : Aku berpuasa, dan jika kamu sedang berdiri, duduklah. ( Riwayat Ibn Khuzaimah, Fath Al-Bari, hlm 126)

Ya, ubah posisimu, agar akal yang tidak waras kerana marah dapat dibendung dari memudaratkan diri dan orang lain yang berdekatan.
Ada yang marah sehingga membunuh, kemudian menyesal dan tidak menyangka itu perbuatannya. Ya, sama seperti arak yang memabukkan, menghilangkan pertimbangan waras akal dan iman. Ada yang marah lalu tercerai isterinya, tercedera anaknya, dihina suaminya, tuntutan cerai kedengaran setiap minggu, mendera jiwa suami yang cuba bersabar. Semua itu diinginikah ?

Semua itu mencederakan, bukan hanya di fizikal tetapi lebih jauh dan sakitnya di hati dan minda. Yang marah dan berkata keras itu pula dapat apa? Hanya dapat melepaskan marah dan memberitahu diri sedang marah. Itu saja, tapi kesannya amat dalam dan jauh lebih buruk, sukar ditaksirkan. Kesannya buruk bagi yang marah dan yang dimarahi.

Justeru Allah mengarahkan kita menjadi kuat dan mampu mengawal marah, sesuai dengan sabda baginda Nabi s.a.w. Namun ada kemarahan yang dituntut, iaitu dalam menyelamat maruah Islam yang dicabar, maruah diri dan keluarga yang cuba dicarik. Namun itu tidak boleh dilaksana secara semberono. Ia punyai kaedah dan peraturan. Lihat bagaimana Nabi melarang seorang hakim memutuskan keputusan dalam keadaan marah, kerana marah menghilangkan kewarasan pertimbangan akal. Ia cenderung mendorong ke arah melakukan kezaliman. Justeru Ramadhan bulan untuk mengikat dan mengawal kemarahan.

Malang pula, kelihatan di bulan berpuasa ini, jumlah yang marah semakin ramai berbanding di bulan lain, alasannya kerana perut kosong, emosi jadi lebih nipis.
Justeru adakah di bulan lain, emosi kita dikawal oleh perut yang kenyang? Janganlah percaya dengan alasan itu. Ia hanya mainan Syaitan. Perut kenyang sama sekali bukan merupakan sumber ‘kawalan diri' yang akan berkekalan, yang patut menjadi sumber kawalan marah adalah iman dan taqwa, yang ditawarkan secara habis-habisan dibulan Ramadhan ini. Bertindak cepatlah mengambilnya dan jangan lagi perut dijadikan alasan.


Sumber:
http://www.zaharuddin.net/

No comments:

Post a Comment