“Tak faham-faham lagi ke?! Dah berapa kali ibu dan
ayah pesan, jangan main bola kat tengah-tangah jalan besar tu! Tengok apa dah jadi, nasib baik tak kena langgar kereta.”
“Kenapa memilih sangat ni?! Jangan banyak ‘songeh’, makan je apa yang ada. Nak suruh makan pun susah!”
“Hei, buat je la apa yang aku suruh buat. Jangan banyak tanya boleh tak? Rimas aku!”
Dialog diatas amat biasa kedengaran apabila berinteraksi dalam suasana tegang terutamanya dalam keadaan marah yang berpunca dari pelbagai asbab(sebab) yang
melibatkan dua pihak – satu pihak memarahi, satu pihak dimarahi. Dalam keadaan ini, intonansi suara akan menjadi tinggi dan mungkin juga akan diikuti dengan perlakuan yang menyakiti secara fizikal mahupun hati dan perasaan individu yang dimarahi.
Pengalaman memarahi orang lain mungkin membuatkan ramai berpendapat rasa marah adalah satu perkara negatif yang patut dihindarkan. Jika dilihat dari konteks keibubapaan, menengking anak-anak semata-mata untuk mendapatkan kerjasama mereka tidak selalu meninggalkan rasa positif dan rasa gembira pada ibu bapa. Namun, tidak ramai yang sedar bahawa kemarahan itu mempunyai tujuan dalam kehidupan kita dan atas sebab itulah Allah menciptakan perasaan marah. Ia datang dengan hikmah mengajar manusia beberapa cara memperoleh hubungan yang lebih sihat dan bahagia.
Berikut merupakan antara kaedah yang dapat menjadikan marah itu sebagai satu perkara yang baik:
1. Kemarahan sebagai pelindung
· Apabila anak berada dalam situasi merbahaya atau mencemaskan, minda anda secara automatik akan mencetuskan satu rangkaian reaksi yang menyebabkan kemarahan. Maka anda tidak mempunyai masa untuk berhenti dan memikirkan tindakan berikutnya.
· Kemarahan sebenarnya memintas fikiran bagi membolehkan manusia bertindak serta-merta. Ini sekali gus merupakan kaedah alam atau natural untuk melindungi keluarga daripada sebarang kecederaan.
2. Kemarahan sebagai petanda
· Tujuan kemarahan itu wujud adalah untuk menghapuskan masalah-masalah kehidupan bukannya perhubungan. Apabila sesuatu memerlukan perubahan dramatik, kemarahan tidak hanya memberitahu anda apa yang perlu diketahui, malah, ia memberi anda kekuatan untuk melakukan sesuatu.
· Misalnya, apabila doktor anak anda tidak mendengar keluhan anda, maka, menjadi marah mungkin boleh ‘merancakkan’ suasana dan mencari punca masalah agar ia boleh diselesaikan.
3. Kemarahan mengawal
· Anak anda membiarkan semua barang permainannya berselerak di serata rumah lagi! Terlalu penat untuk menengking perlakuan anak itu untuk mendapatkan kerjasamanya, kemarahan mungkin dapat membantu. Perasaan marah boleh memberitahu bahawa anda mempunyai harapan yang terlalu tinggi atau peraturan yang ditetapkan tidak cukup jelas.
· Gunakan tenaga deripada kemarahan anda untuk berkomunikasi tentang disiplin yang konsisten serta berpatutan seiring dengan usia anak.
4. Kemarahan sebagai suara
· Apa yang kita katakan kepada diri biasanya akan menjejaskan tahap emosi. Jika kita memberitahu diri sebagai ibu bapa yang teruk, maka, teruklah jadinya. Sebaliknya, jika kita berkata kepada diri agar melakukan yang terbaik dalam apa juga situasi, maka, kita akan bertindak tanpa rasa tertekan.
· Belajarlah mendengar ‘suara kecil’ dan mencabar sebahagian persepsi salah yang telah anda terapkan untuk diri dan si anak. Mintalah pandangan jujur daripada rakan-rakan. Jika apa yang anda katakan tentang diri itu benar, maka, gunakan maklumat ini untuk membuat perubahan dalam hubungan anda dan anak.
5. Kemarahan sebagai pengajaran
· Cara dan gaya pengurusan kemarahan selalunya diwarisi daripada ibu bapa. Andainya ibu atau bapa anda seorang yang suka menengkin atau menjerit, maka besar kemungkinan, anda akan mengikut jejaknya. Biarpun setelah berjanji dan bersumpah tidak akan bersikap sepertinya.
· Buangkan tanggapan bahawa kemarahan itu satu perasaan yang buruk. Kemarahan ialah satu proses natural yang tidak dapat dielakkan. Tetapi, anda perlu faham bahawa emosi ini boleh dikawal melalui latihan.
· Berikan diri anda masa untuk mencari kaedah berdepan dengan cabaran mendidik anak, sama ada melalui bacaan buku ataupun menghadiri kelas mengurus kemarahan.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, klik disini.
No comments:
Post a Comment