Telah diterangkan di dalam entri yang lepas bahawa marah adalah salah satu perasaan yang perlu dikawal dan dikendalikan dengan baik oleh setiap individu agar tidak memberikan kesan buruk dalam jangka masa pendek mahupun dalam jangka masa panjang. Justeru, kali ini kita akan membincangkan serba sedikit cara-cara mengendalikan perasaan yang panas membara ini.
Sebelum itu, mari kita kenali jenis-jenis marah yang ada.
JENIS-JENIS MARAH
Terdapat 2 jenis kemarahan yang biasa kita hadapi dalam kehidupan seharian kita. Sifat marah ini ada yang kadang-kadang dipuji dan kadang-kadang dicela mengikut sebab-sebab penggeraknya.
o Sifat marah yang terpuji (positif) ialah marah yang diluahkan kerana membela kebenaran dan agama, dan marah kerana menegah kemungkaran dan perkara-perkara haram.
o Sifat marah yang tercela (negatif) ialah marah pada jalan yang salah, yang dinyalakan oleh kesombongan dan keangkuhan.
CARA MENGATASI MARAH
Terdapat pelbagai cara untuk mengawal dan mengatasi marah. Antaranya ialah:
- Mengingatkan orang yang sedang marah itu dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
- Kalau sedang berdiri, cepat-cepat duduk untuk mengelakkan tangan kita lancang memukul orang atau mencapai barang untuk dibaling.
- Ambillah wuduk. Wuduk itu dapat membuang segala kekotoran pada diri kita.
- Kalau tidak berkesan duduk, suruhlah orang yang sedang marah tersebut baring.
- Minum air kosong banyak-banyak ketika marah. Cara ni dapat meredakan marah.
- Lari daripada melihat muka orang yang hendak dimarahi. Sebaiknya, redakanlah rasa marah yang ada sebelum bersemuka dengan orang tersebut. Ini perlu agar kita tidak melepaskan rasa marah secara membuta tuli terhadapnya.
Menahan Diri Daripada Marah
Seorang ulama fiqh, Nur bin Muhammad berkata: Seorang muslim hendaklah bersifat lemah lembut dan sabar kerana ia adalah salah satu sifat orang-orang bertaqwa. Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah memuji orang-orang yang bersifat lemah lembut dengan firmanNya yang tafsirnya :
“(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad), maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya rasul-rasul (Ulul-Azmi) dari kalangan rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu)”.
(Surah Asy-Syura: 43)
Ayat ini memberi maksud bahawa orang-orang yang sabar di atas kezaliman yang dilakukan ke atasnya dan dia memaafkan orang yang menzaliminya itu akan mendapat pahala dan ganjaran yang amat besar daripada AllahSubhanahu Wa Ta’ala.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala juga telah memerintahkan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam supaya bersifat sabar dan berlemah lembut dan Allah mengkhabarkan kepada Baginda bahawa nabi-nabi yang terdahulu sebelum Baginda adalah orang-orang yang memiliki sifat demikian. Allah Subhanahu Wa Ta’alaberfirman yang tafsirnya :
“(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad), maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya rasul-rasul (Ulul-Azmi) dari kalangan rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu)”.
(Surah al-Ahqaaf: 35)
Dalam ayat ini Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah memerintahkan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallamsupaya bersifat sabar di atas pembohongan orang-orang kafir dan di atas penyiksaan mereka sebagaimana bersabarnya para nabi sebelum Baginda.
Sesungguhnya perasaan marah boleh kita ibaratkan seperti belon yang mampumengembangdan mengecut. Ia akan mengembang apabila seseorang memarahi orang di bawahnya dan merasa berkuasa terhadap orang itu. Jikalau marah itu timbul terhadap orang yang di atasnya dan dia berputus asa untuk membalas dendam, nescaya terjadilah kekecutan darah dari permukaan kulit sampai ke rongga hati dan dia menjadi gundah gulana. Namun, jika kemarahan itu terjadi terhadap orang yang sebanding atau setaraf dengannya, nescaya darah itu bertukar-ganti di antara mengecut dan mengembang. Maka, berhati-hatilah dalam menghadapi dan mengendalikan marah agar tidak memberi kesan buruk kepada mana-mana pihak.
TIPS MENGELAKKAN KEMARAHAN
"Barangsiapa yang dapat menahan marah padahal sanggup melempiaskan kemarahannya, nescaya ALLAH SWT memanggilnya di hadapan khalayak ramai untuk dipersilakan memilih bidadari yg dikehendakinya" (H.R Mu`adz bin Anas R.A.)
Siapa yang tidak mahu diberi peluang untuk memilih sendiri bidadari Syurga yang cantiknya tiada tandingan? Ini merupakan penghormatan yang Allah beri kepada hamba-hamba-Nya yang sanggup menahan kemarahan walaupun mereka berpeluang berbuat demikian. Maka, kita perlu belajar mengawal kemarahan diri dan seboleh-bolehnya elak daripada melepaskan kemarahan tersebut kepada orang yang salah atau pada masa dan keadaan yang tidak sesuai.
Disini terdapat beberapa tips yang boleh kita gunakan sebelum kita mengekspresikan perasaan marah kita terhadap orang lain. Terdapat tiga perkara utama yang perlu dipertimbangkan. Perkara-perkara tersebut ialah:
1. Adakah kita marah pada orang yang tepat?
o Dalam hal ini biasa terjadi dalam pekerjaan misalnya seorang pegawai dengan jabatan sebagai penyelia mempunyai masalah dengan pegawai yang lebih tinggi pangkat darinya, secara realiti penyelia tersebut akan memarahi pekerja dibawahnya dengan alasan takut dimarahi oleh pihak atasan.
2. Adakah kita marah pada waktu yang tepat?
o Perkara yang perlu dielakkan apabila kita sedang marah ialah jangan pernah memarahi seseorang dihadapan ramai orang kerana ini boleh menggangu perkembangan sikologi orang tersebut, apatah lagi terhadap kanak-kanak.
3. Adakah kita marah dengan alasan yang tepat?
o Kita perlu mengelak daripada berasa marah disebabkan hal-hal yang remeh temeh seperti hanya disebabkan orang lain meminjam sepatu tanpa izin kepada pemiliknya kita memarahi dengan begitu teruk sekali.
Apabila ketiga-tiga hal yang telah disebutkan di atas sudah memenuhi syarat, maka barulah kita dibolehkan untuk berasa marah. Namun, apabila salah satu daripadanya tidak dipenuhi, lebih baik kita menahan kemarahan itu. Pertimbangkan terlebih dahulu, adakah kita perlu marah, atau mungkin kita perlu mempertimbangkan perasaan orang lain apabila kita memarahinya di tempat yang umum kerana dikhuatiri akan menjatuhkan maruahnya.
No comments:
Post a Comment